Tuesday 1 January 2013

Perhubungan struktur pasaran dan pengiklanan



“ Firma tunggal yang menguasai 90% bahagian pasaran didapati kurang memperuntukkan perbelanjaan terhadap pengiklanan berbanding dengan 4 firma yang menguasai 90% bahagian pasaran”. Huraikan pernyataan tersebut dengan merujuk kepada contoh firma di Malaysia.

Terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan oleh sesebuah firma bagi meningkatkan kadar keuntungan mereka. Salah satunya adalah menerusi pengiklanan samada menerusi media cetak seperti surat khabar, majalah mahupun media elektronik dan media massa seperti pengiklanan menerusi televisyen mahupun internet. Kemudian ia turut diikuti oleh kaedah galakan jualan yang lain seperti diskaun promosi, pameran jualan langsung melalui jurujual dan lain-lain.
Aktiviti pengiklanan adalah salah satu cara untuk mempengaruhi permintaan keluaran sesebuah firma. Namun demikian, corak dan keamatan pengiklanan bergantung juga pada struktur pasaran dan sifat keluaran yang hendak dibeza-bezakan.
Berdasarkan soalan di atas ia merujuk kepada dua jenis stuktur pasaran iaitu pasaran Monopoli dan pasaran Oligopoli. Contoh firma yang mengamalkan pasaran Monopoli di Malaysia ialah firma Telekom Malaysia. Manakala, bagi struktur pasaran Oligopoli pula contoh firma adalah firma pengeluar minyak petrol iaitu Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex.
Telekom Malaysia
            Pasaran monopoli merupakan sebuah pasaran yang mempunyai  hanya seorang penjual tunggal, iaitu menjual produk yang tidak ada penganti hampir dan terdapat halangan yang besar untuk memasuki pasaran. Dalam industri ini, hanya ada sebuah firma sahaja yang yang menghasilkan sesuatu barang yang tiada barang penganti hampir di pasaran. Ini bermakna firma dan industri adalah sama sahaja.
            Telekom Malaysia merupakan firma monopoli yang menguasai 90% bahagian pasaran telekomunikasi dalam talian tetap di Malaysia. Pelbagai perkhidmatan baru telah disediakan oleh Telekom Malaysia bagi meningkatkan perkhidmatan mereka dalam industri Telekomunikasi. Antaranya ialah Talian Coins, Tollfree,Vpn, Kadfon, Malaysia Direct, Vsat, Will, Telesstock, Isdn,Tmnet, Video Conferencing, Unifi dan sebagainya telah diperkenalkan. Dengan pencapaian dan peningkatan yang dialami oleh Telekom Malysia Berhad, tidak mustahil sekiranya ia menjadi sebuah syarikat telekomunikasi yang terunggul dan terkemuka di dalam negara dan menyebabkan wujudnya halangan kemasukan industri baru dalam pasaran telekomunikasi talian tetap.
            Dalam struktur pasaran telekomunikasi, pengiklanan turut memainkan peranan yang penting namun ia adalah terbatas. Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan firma Telekom Malaysia melakukan pengiklanan :
1.      Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pengguna
            Pengiklanan yang memberikan maklumat dan pengetahuan kepada pengguna dikatakan memberikan faedah sosial. Melalui pengiklanan, Telekom Malaysia dapat memberikan maklumat sebenar tentang kualiti, sifat teknik produk yang ditawarkan dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam pengiklanan, memberi maklumat adalah penting kerana pengguna boleh membuat pilihan terbaik antara berbagai-bagai jenis barangan yang ada. Kebajikan pengguna akan meningkat kerana tanpa pengiklanan adalah sukar dan mahal bagi pengguna menilai kelebihan sesuatu jenama barangan pengguna. Misalnya Telekom Malaysia kurang melakukan pengiklanan dan hanya melakukan pengiklanan secara berkala misalnya di musim perayaan dimana ia adalah bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pengguna tentang barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Misalnya, iklan mengenai perkhidmatan jalur lebar Unifi yang diperkenalkan oleh Telekom Malaysia berjaya menarik ramai pengguna.
2.      Untuk mengurangkan keanjalan permintaan bagi meninggikan keuntungan.
             Selain itu, pengiklanan yang dilakukan oleh Telekom Malaysia juga digunakan untuk mengurangkan keanjalan permintaan bagi meninggikan keuntungan. Terdapat dua saluran yang membuktikan pengiklanan mempengaruhi keuntungan. Pertama, pengiklanan mewujudkan halangan kemasukan yang seterusnya meninggikan harga had dan keuntungan. Kedua, pengiklanan mempengaruhi keanjalan harga permintaan. Jadi ini menyebabkan firma akan mendapat keuntungan monopoli dan menyebabkan firma tersebut menguasai pasaran. Jika permintaan terhadap sesuatu barang adalah anjal, kenaikan harga barang tersebut menyebabkan kejatuhan dalam jumlah keuntungan. Manakala, jika permintaan sesuatu barang tersebut tidak anjal, kejatuhan harga barang tersebut akan mengurangkan jumlah keuntungan.
3.      Menghalang kemasukan firma baru dalam pasaran.
      Pengiklanan menghalang kemasukan melalui dua kesan secara langsung iaitu kesan pengiklanan terhadap SKM operasi pengeluaran firma dan keperluan modal. Kesan dari pengiklanan terhadap SKM operasi pengeluaran firma menyebabkan wujudnya ekonomi ikut skel. Hal ini menyebabkan firma besar seperti Telekom Malaysia yang telah menguasai 90% dalam pasaran sahaja boleh menarik pelanggan dengan kos pengiklanan perunit yang lebih rendah daripada firma kecil. Begitu juga dengan halangan kemasukan melalui keperluan modal. Pengiklanan memerlukan modal yang banyak. Modal diperlukan bukan sahaja untuk pelaburan dalam loji dan kelengkapan bahkan untuk pemasaran. Pelaburan bagi bagi menembusi pasaran tersedia ada adalah berisiko tinggi. Hal ini disebabkan bukan semua aktiviti pengiklanan akan mendatangkan hasil. Pembaziran mungkin berlaku khususnya jika pengiklanan gagal menarik para pembeli. Jadi hal ini juga menyebakan firma besar sahaja dapat menguasai pengiklanan.
Bagi Telekom Malaysia yang  menguasai hampir 90%dalam bahagian pasaran, tidak melakukan perbelanjaan pengiklanan yang berlebihan kerana ia tidak mempunyai persaingan dalam pasaran perkhidmatan talian secara tetap. Oleh yang demikian, keamatan pengiklanan  adalah rendah dalam industri monopoli.
OLIGOPOLI (Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex)
            Pasaran oligopoli merupakan struktur pasaran yang mempunyai beberapa buah firma besar yang menghasilkan keluaran yang berbeza untuk memenuhi keperluan seluruh pasaran. Ini bermakna jumlah keluaran untuk sesuatu keluaran hanya dihasilkan oleh beberapa buah firma besar sahaja. Dalam industri pengeluaran minyak petroleum, terdapat beberapa buah firma besar yang menguasai pasaran oligopoli iaitu Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex. Keluaran setiap firma dalam pasaran oligopoli dapat digantikan dengan mudah antara satu sama lain.
            Empat buah firma yang menguasai 90% bahagian pasaran dalam industri pengeluaran minyak petroleum mempunyai kuasa monopoli atau kuasa mempengaruhi tingkat harga pasaran bergantung kepada kerjasama antara firma. Jika tidak mempunyai kerjasama antara firma, maka kuasa mempengaruhi harga pasaran adalah lemah lalu mewujudkan suasana perang harga antara firma. Terdapat beberapa kepentingan pengiklanan yang wujud dalam persaingan firma oligopli,misalnya:
1.      Bersaing untuk meningkatkan jualan dan keuntungan dalam pasaran.
      Firma Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex bukan sahaja bersaing dari segi harga, tetapi turut bersaing dari segi bukan harga, iaitu melalui aktiviti seperti iklan, promosi, jualan, dan tawaran hadiah percuma untuk meningkatkan jualannya. Keamatan pengiklanan dijangkakan lebih tinggi dalam industri oligopoli. Berbanding dengan pemotongan harga, firma-firma Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex memilih kaedah pengiklanan sebagai kaedah yang lebih selamat untuk meraih jualan daripada firma saingan, meninggikan bahagian pasaran, dan keuntungan.
2.      Tujuan untuk mengekalkan kesetiaan penggunaan terhadap keluarannya.
      Selain itu, aktiviti pengiklanan perlu dilakukan oleh empat buah firma besar ini bagi melakukan pengiklanan dengan tujuan untuk mengekalkan kesetiaan penggunaan terhadap keluarannya. Melalui tindakan ini akan dapat melindungi bahagian pasaran firma masing-masing daripada mengalami kemerosotan akibat persaingan. Misalnya, Petronas giat mempromosikan “Ganjaran Kad Mesra” untuk menarik para pelanggan untuk terus setia menggunakan produk mereka. Namun demikian, apabila periklanan dilakukan secara berlebihan ia akan menjadi kurang berfungsi dan keuntungan akan berkurangan.
3.      Kaedah pengiklanan lebih mudah dan selamat.
      Firma oligopoli mendapati bahawa cara mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka melalui pengiklanan adalah lebih selamat untuk meraih jualan daripada firma saingan daripada melakukan kaedah pemotongan harga. Hal ini demikian kerana, taktik pemotongan harga kurang digemari oleh firma oligopoli kerana tindakan menurunkan harga bagi produk dan perkhidmatan akan diikuti oleh dengan serta-merta oleh firma saingan kecuali jika ia dirahsiakan. Sebaliknya, aktiviti pengiklanan yang berjaya akan sukar diikuti dan memerlukan masa yang agak lama untuk bertindak balas. Misalnya, Petronas akan mempromosikan jenama dan produknya menerusi pengiklanan di televisyen mahupun menaja program-program besar seperti menaja program perlumbaan litar F1 di Litar Sepang, Selangor.



            Hal ini dapat ditunjukkan berdasarkan Matriks ganjaran firma hipotetik di bawah:
Iklan     tahunan
 firma Petronas
Iklan tahunan
firma Shell


RM 5 JUTA


RM 7 JUTA




I
II
III
IV

RM 5 JUTA
RM 7 JUTA
12.0
12.0
8.0
14.0

14.0
8.0
10.0
10.0


            Angka kolum I dan kolum III dalam jadual menunjukkan ganjaran keuntungan bersih bagi firma Shell (dalam juta RM setahun). Manakala, kolum II dan kolum IV merupakan ganjaran keuntungan bersih bagi firma Petronas. Jika kedua-dua firma melakukan perbelanjaan sama banyak iaitu RM5 juta, masing-masing akan mendapat keuntungan RM 12 juta. Jika firma Shell dan Petronas menambahkan lagi perbelanjaan pengiklanan kepada RM 7 juta, jualan keseluruhan akan meningkat, tetapi kos pengiklanan yang semakin meningkat akan menyebabkan keuntungan akan berkurang menjadi sebanyak RM 10 juta sahaja.
Jika firma Shell membelanjakan pengiklanan sabanyak RM 7 juta dan firma Petronas hanya RM 5 juta maka keuntungan firma Shell akan meningkat kepada RM 14 juta dan keuntungan firma Petronas hanya RM 8 juta sahaja dan begitu sebaliknya. Setiap firma  akan cuba untuk meningkatkan perbelanjaan pengiklanan namun kos yang tinggi akan merendahkan keuntungan berbanding jika mereka bersepakat untuk mengehadkan perbelanjaan pengiklanan hanya RM 5 juta.
Tetapi sama seperti strategi harga, pakatan perbelanjaan pengiklanan dalam oligopoli sukar dilakukan. Akibatnya, setiap firma dalam oligopoli akan melakukan perbelanjaan pengiklanan berlebihan daripada yang diperlukan. Secara kesimpulannya, pengurusan pengiklanan bagi firma Oligopoli adalah lebih rumit dan memakan kos perbelanjaan yang tinggi berbanding firma daripada pasaran Monopoli. Hal ini demikian kerana perbelanjaan pengiklanan memerlukan strategi yang sesuai. Firma harus mengambil kira bagaimana kelakuan pihak lawannya dan apakah tindakan pihak lawannya terhadap perubahan yang dibuat olehnya.

No comments:

Post a Comment