Tuesday 1 January 2013

ISU-ISU PENYERTAAN AWAM



ISU-ISU PENYERTAAN AWAM
Penglibatan orang awam dalam membantu Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) amat penting bagi mengenalpasti masalah-masalah dan peluang-peluang di dalam kawasannya serta memeriksa  dan memahami kandungan-kandungan rancangan pemajuan, mengemukakan rayuan, cadangan atau pandangan. Menurut Jane Mansbridge (Professor Sociology Northwestern ),
    "Participation does make better citizens. I believe it, but I can’t prove it. And neither can anyone else." 
Memang tidak dapat dinafikan penyertaan merupakan suatu elemen perlu dalam suatu proses perancangan, fungsi-fungsi perancangan digunakan untuk menganalisis maklumat dan nilai-nilai komuniti. Namun, situasi ini akan wujud hanya sekiranya semua orang mengambil bahagian. Malangnya sehingga kini keadaan ini masih. Selain itu, menurut Winston Churchill,
"Democracy is the worst system devised by the wit of man, except for all the others."
Hal ini jelas menunjukkan bahawa terdapat beberapa isu yang timbul yang melibatkan orang awam dalam perancangan metropolitan samada dari isu yang timbul dari pihak perancang, kerajaan mahupun orang awam itu sendiri misalnya:
1)       “Self interested”
Istilah “awam” haruslah bermaksud semua orang dalam masyarakat iaitu sebagai individu yang terlibat dan bukan hanya mereka yang merupakan ahli-ahli kumpulan pendesak ataupun mereka yang mempunyai “self interested”(kepentingan diri) sahaja. Tambahan pula, fahaman orang ramai terhadap konsep penglibatan awam dalam perancangan metropolitan ini masih keliru. Jadi, mustahillah bagi mereka ini terutama bagi golongan masyarakat di luar bandar untuk melibatkan diri dalam penyertaan awam misalnya program-program penyertaan awam yang dirancang oleh PBPT(Perancang Berkuasa Pihak Tempatan). Sebaliknya, mereka yang biasa melibatkan diri ini biasanya merupakan mereka yang mempunyai kepentingan sendiri seperti  pemaju ataupun mereka yang menceburi dalam bidang perancangan.
Hal ini demikian adalah bagi menjaga kepentingan mereka bagi memudahkan segala perancangan yang dibuat oleh mereka tanpa mengira aspek keselamatan, alam sekitar dan hanya bermotifkan keuntungan semata-mata. Adalah wajar untuk mendidik masyarakat agar mereka lebih mengetahui keadaan pembangunan sesuatu kawasan, untuk pendidikan sekitar serta keadaan pekerjaan .Jadi, tujuan atau matlamat penyertaan awam ini adalah tidak  tercapai kerana pada umumnya program-program penyertaan awam ini hanya bertujuan memberi ulasan kepada laporan pemeriksaan dan seterusnya mendapatkan maklum balas orang ramai tentang hasil kajian, masalah-masalah, isu-isu semasa dan cadangan-cadangan am perancangan pembangunan tanpa melibatkan orang awam dari peringkat awal lagi. Misalnya, Projek Lynas di Gebeng Kuantan, Pahang yang menjadi isu hangat apabila mendapat tentangan dari masyarakat setempat walhal projek terbabit telah hampir siap 60% dan ia jelas menunjukkan tidak wujud langsung penglibatan awam dari peringkat awal iaitu peringkat perancangan pelan projek.

2)      Sikap masyarakat yang tidak peka
Di samping itu juga, motivasi, kebolehan dan sikap awam amat penting dalam mempengaruhi keberkesanan penyertaan awam. Masyarakat perlu memahami akan kepentingan penglibatan awam dalam perancangan metropolitan terutamanya bagi menyuarakan cadangan atau bantahan akan sesuatu pelan perancangan yang dirancang demi kebaikan akan datang. Kelemahan faktor-faktor motivasi, kebolehan dan sikap sambil lewa masyarakat, sama sekali boleh menggagalkan matlamat pameran dan matlamat perancangan untuk awam. Kemungkinan besar ini berlaku adalah disebabkan orang awam mempunyai sikap yang pesimis, negatif dan tidak mengambil peduli apa yang akan berlaku dalam perancangan persekitaran mereka pada masa yang akan datang. Jika adapun minat untuk menyertai, namun mereka tidak mempunyai kemahiran untuk berbuat demikian. Selain itu juga, sikap sambil lewa masyarakat juga adalah disebabkan kurangnya pendidikan dan mereka menyerahkan 100% perancangan kepada kerajaan tanpa menyuarakan bantahan atau pendapat mereka sendiri.

3)       Kekurangan pendedahan dan motivasi
Salah satu isu yang wujud ekoran kegagalan penyertaan awam dalam perancangan metropolitan adalah sikap dan faktor yang wujud dari pihak berkuasa. Lebih-lebih lagi, pihak PBPT(Perancang Berkuasa Pihak Tempatan) dimana mereka gagal menarik  minat orang awam untuk turut serta dalam perancangan. Misalnya kekurangan maklumat-maklumat yang jelas, kekurangan kakitangan mahir, kekurangan penyertaan pihak berkuasa di kawasan-kawasan luar bandar dan sebagainya. Oleh itu, sesetengah masyarakat melihat usaha-usaha penyertaan ini sebagai “pembaziran masa”.  Persoalan mengenai kos dan masa juga sering diperkatakan dalam proses penyertaan awam dimana ia memakan kos yang sangat tinggi. Namun, perlu diingatkan bahawa perancangan adalah “is a means and not and end”. Oleh itu, cadangan rangka kerja perlu disediakan dalam sesuatu perancangan penyertaan awam pada masa dan tempat yang betul. Perancangan bukan semata-mata latihan teoritis yang boleh dilakukan mengikut had masa namun ia perlu dilakukan mengikut pemeringkatan yang betul dan teratur bagi memastikan tiada isu yang timbul kelak.

           
4)      Pengaruh Politik dalam Perancangan dan Pembangunan
Sama ada kita suka atau tidak, perancangan tidak boleh dipisahkan daripada pengaruh politik kerana perancangan pada asasnya adalah aktiviti politik. Sememangnya peranan ahli politik dalam perancangan adalah lebih ketara. Ahli politik misalnya ahli bertanggungjawab dalam menetapkan polisi, menggubal undang-undang, ordinan, belanjawan, peraturan yang mempunyai kesan lebih kepada rakyat. Komponen eksekutif seperti pihak berkuasa tempatan pula bertanggungjawab mencadang polisi, melaksanakan polisi melalui pelan, program, projek manakala komponen kehakiman pula menguruskan konflik berkaitan undang-undang. Terdapat isu yang timbul terutama dalam perancangan metropolitan dimana ahli-ahli politik menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk memepengaruhi kuasa perancangan sesuatu projek demi kepentingan mereka sendiri tanpa mengambil berat aspek keselamatan dan kebajikan masyarakat itu sendiri.

Pendek kata, penyertaan awam ini perlu dilihat dalam konteks yang luas. Ia perlu melibatkan pertimbangan-pertimbangan tentang kualiti persekitaran keseluruhannya dan sebarang perubahan perancangan terhadapnya. Dalam erti kata yang lebih sempurna, penyertaan awam lebih daripada “an artificial abstraction”. Malah penyertaan awam ini mesti mempunyai nilai sosial yang mengawal minat awam. Walau bagaimanapun, masih nampak sedikit harapan dalam penyertaan awam ini kerana sekurang-kurangnya usaha mendorong penyertaan awam telah kian dilaksanakan di samping isu penyertaan awam pula semakin diberi perhatian di negara kita ini.

PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia)



Apakah PR1MA?
 PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia), merupakan salah satu program kerajaan yang dilancarkan pada 4 Julai 2011 untuk menggalakkan pemilikan rumah yang lebih besar, terutama di kalangan golongan berpendapatan sederhana, dengan menyediakan lebih banyak kediaman hartanah berpatutan di bandar-bandar utama di seluruh negara. Program PR1MA ini merupakan satu lagi agenda Kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia sejajar dengan gagasan 1Malaysia: “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Pelaksanaan PR1MA juga akan dapat membantu ke arah mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara bagi menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki.
Pelaksanaan PR1MA akan ditumpukan di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara. Walau bagaimanapun, buat permulaan PR1MA akan dilaksanakan di sekitar Lembah Klang di mana permintaan untuk rumah-rumah kos sederhana ini dijangka tinggi dan melebihi penawaran. Pembinaan rumah-rumah ini dirancang supaya berdekatan dengan laluan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Hal ini adalah untuk memudahkan rakyat, mengurangkan kos pengangkutan dan secara langsung, ini dapat membantu golongan ini berjimat dan meningkatkan “disposable income” yang boleh digunakan bagi memperbaiki kualiti hidup mereka.
PR1MA ini ditujukan khusus kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan sederhana, tetapi tidak lebih daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan Kerajaan, swasta ataupun bekerja sendiri. Tujuan sebenar Kerajaan melaksanakan program ini adalah untuk melihat rakyat menikmati hidup yang lebih selesa dengan memiliki rumah sendiri dan bukannya untuk memberi ruang kepada sesetengah pembeli untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi.

KELEBIHAN
1.    Dilaksanakan melalui kaedah Public Private Partnership.
Melalui kaedah ini, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta dalam menjayakan skim PR1MA bagi melancarkan lagi pelaksanaan skim PR1MA.  Kerajaan bersedia mempertimbangkan bantuan kepada pemaju-pemaju yang terlibat dari segi penyediaan tanah dan dana mudah cara bagi memastikan rumah tersebut dapat ditawarkan pada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan. Di samping itu, pengurangan kerenah birokrasi turut dikurangkan menerusi laluan hijau yang diberikan oleh kerajaan kepada pemaju-pemaju untuk mendapatkan kelulusan pihak-pihak berkuasa berkaitan. Ini bagi memastikan bahawa projek perumahan tersebut dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Melalui kaedah ini, ini dapat menjamin kualiti perumahan yang dibina mengikut standard kualiti yang ditetapkan.

2.      Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS)
Kerajaan turut menggalakkan pemaju-pemaju agar mempraktikkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menekankan beberapa aspek seperti peningkatan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan. Konsep teknologi hijau dan mesra alam turut diterapkan dalam pelaksanaan projek PR1MA. Oleh yang demikian, rakyat dapat membeli rumah dengan harga yang mampu dimiliki dan turut dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dengan rumah yang berkonsepkan teknologi hijau dan mesra alam ini.

3.    Pengagihan secara adil dan telus
     Projek perumahan PR1MA akan diperuntukkan secara adil dan telus melalui sistem pengundian dimana setiap proses pengundian akan dipantau oleh sebuah firma perakaunan awam yang disahkan bagi memastikan proses permohonan mengikut piawaian dan prosedur yang berkaitan. Satu Unit Khas di bawah Pejabat Perdana Menteri akan ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras pembinaan PR1MA di seluruh negara serta membuat pengagihan rumah kepada pemohon yang layak seterusnya dapat mengelakkan aktiviti spekulasi di kalangan pembeli yang bertujuan untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan serta merta. Oleh yang demikian, pembeli unit rumah PR1MA tidak akan dibenarkan untuk menjual rumah tersebut dalam tempoh 10 tahun.

4.             Harga yang berpatutan
      Pakej PR1MA menyediakan perumahan yang murah, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki dimana kerajaan akan membiayai kos tanah dan infrastruktur dengan pembeli hanya perlu membayar untuk kos sebuah rumah. Harga seunit ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi. Untuk projek fasa pertama di Presint 11, Putrajaya harga seunit bermula daripada RM120,000 dengan keluasan setiap unit rumah PR1MA adalah antara 800 sehingga 1,400 kaki per segi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Kerajaan turut mengumumkan bahawa duti setem akan dikecualikan bagi pembeli rumah di bawah program PR1MA bagi memudahkan pemilikan rumah oleh golongan rakyat.
KELEMAHAN
1.    Kerenah Birokrasi
         Kerajaan juga perlu meningkatkan kecekapan skim perumahan dengan mengurangkan kerenah birokrasi untuk membolehkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman perumahan walaupun ia berdasarkan gaji bersih mereka. Pelbagai prosedur yang perlu dilakukan oleh pemohon sekaligus memakan masa yang lama untuk diproses seperti Pendaftaran Pemohonan dimana calon perlu untuk mendaftar secara online melalui laman web. Komputer dijana tiket bersiri akan dikeluarkan kepada pemohon dan pendaftar perlu mengesahkan selama 14 hari dari tempoh permohonan. Kemudian, peringkat kedua peringkat Pengundian Manual akan dijalankan pada tarikh yang diketengahkan. Pemohon yang terpilih akan dimaklumkan sebaik-baiknya melalui surat dan diminta untuk mengemukakan dokumen yang perlu dan relevan pada satu masa yang akan ditentukan kemudian untuk tujuan pemeriksaan. Peringkat terakhir ialah peringkat Pengumuman dimana notis akhir akan dikeluarkan oleh Unit PR1MA, Pejabat Perdana Menteri yang berjaya pemohon. Kelewatan proses kelulusan oleh pihak-pihak berkuasa turut menyukarkan pihak pemaju menyiapkan projek perumahan mengikut tempoh yang ditetapkan seperti kelulusan ICF yang memerlukan pelbagai prosedur untuk diluluskan.
2.         Tiada kemudahan pembiayaan/pinjaman
Projek Perumahan PR1MA tidak menyediakan pinjaman kepada pembeli dimana pemohon perlu menguruskan sendiri pembiayaan mereka sendiri. Pemaju hanya menyediakan senarai bank panel / pembiaya kepada pemohon. Pembeli hanya mempunyai pilihan untuk menggunakan sebahagian daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman atau mendapatkan nilai pinjaman yang lebih tinggi daripada institusi kewangan menerusi mekanisme sedia ada termasuk skim ring-fencing, yang telah ditawarkan oleh beberapa institusi kewangan. Oleh yang demikian, kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan dan melanjutkan tempoh pembayaran balik bagi memenuhi keperluan keluarga berpendapatan rendah.
3.      Tekanan kepada kawasan bandar
Kerajaan sehingga kini telah mengenal pasti sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang, Rawang dan Seremban bagi pelaksanaan skil PR1MA. Sebanyak 8 projek dijangka dapat dimulakan pada tahun ini dan tahun hadapan. Presint 11, Putrajaya telah dipilih untuk menjadi tapak pertama skim PR1MA. Projek ini akan menyediakan 560 unit pangsapuri di kawasan seluas 7.6 ekar. Justeru itu, kebanyakan projek perumahan PR1MA akan dibina di kawasan bandar sekaligus akan meningkatkan lagi tekanan kepada kawasan bandar. Pelbagai eksternaliti negatif akan timbul seperti kesesakan jalan raya, banjir kilat, serta mewujudkan iklim bandar yang teruk iaitu Pulau Haba. Perancangan gunatanah yang kurang baik ini akan mendatangkan masalah yang teruk kepada penduduk ekoran kawasan perumahan dibina di kawasan pusat bandar yang padat seperti di Lembah Klang dan Putrajaya.

KESIMPULAN
            Sebagai kesimpulannya, program PR1MA adalah satu program yang cukup baik kerana ia mensasarkan golongan masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah. PR1MA adalah sebuah kesinambungan idea untuk menyelesaikan masalah kekurangan pemilikan rumah. Tujuan sebenar kerajaan melaksanakan program ini adalah untuk melihat rakyat menikmati hidup yang lebih selesa dengan memiliki rumah sendiri dan bukannya untuk memberi ruang kepada sesetengah pembeli untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi. Golongan sasaran akan menikmati hidup yang lebih selesa selaras dengan gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam program PR1MA, namun ia masih dapat diatasi oleh kerajaan ekoran sambutan yang menggalakkan diterima oleh rakyat dan program ini wajar diteruskan lagi.
                                                 

Perhubungan struktur pasaran dan pengiklanan



“ Firma tunggal yang menguasai 90% bahagian pasaran didapati kurang memperuntukkan perbelanjaan terhadap pengiklanan berbanding dengan 4 firma yang menguasai 90% bahagian pasaran”. Huraikan pernyataan tersebut dengan merujuk kepada contoh firma di Malaysia.

Terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan oleh sesebuah firma bagi meningkatkan kadar keuntungan mereka. Salah satunya adalah menerusi pengiklanan samada menerusi media cetak seperti surat khabar, majalah mahupun media elektronik dan media massa seperti pengiklanan menerusi televisyen mahupun internet. Kemudian ia turut diikuti oleh kaedah galakan jualan yang lain seperti diskaun promosi, pameran jualan langsung melalui jurujual dan lain-lain.
Aktiviti pengiklanan adalah salah satu cara untuk mempengaruhi permintaan keluaran sesebuah firma. Namun demikian, corak dan keamatan pengiklanan bergantung juga pada struktur pasaran dan sifat keluaran yang hendak dibeza-bezakan.
Berdasarkan soalan di atas ia merujuk kepada dua jenis stuktur pasaran iaitu pasaran Monopoli dan pasaran Oligopoli. Contoh firma yang mengamalkan pasaran Monopoli di Malaysia ialah firma Telekom Malaysia. Manakala, bagi struktur pasaran Oligopoli pula contoh firma adalah firma pengeluar minyak petrol iaitu Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex.
Telekom Malaysia
            Pasaran monopoli merupakan sebuah pasaran yang mempunyai  hanya seorang penjual tunggal, iaitu menjual produk yang tidak ada penganti hampir dan terdapat halangan yang besar untuk memasuki pasaran. Dalam industri ini, hanya ada sebuah firma sahaja yang yang menghasilkan sesuatu barang yang tiada barang penganti hampir di pasaran. Ini bermakna firma dan industri adalah sama sahaja.
            Telekom Malaysia merupakan firma monopoli yang menguasai 90% bahagian pasaran telekomunikasi dalam talian tetap di Malaysia. Pelbagai perkhidmatan baru telah disediakan oleh Telekom Malaysia bagi meningkatkan perkhidmatan mereka dalam industri Telekomunikasi. Antaranya ialah Talian Coins, Tollfree,Vpn, Kadfon, Malaysia Direct, Vsat, Will, Telesstock, Isdn,Tmnet, Video Conferencing, Unifi dan sebagainya telah diperkenalkan. Dengan pencapaian dan peningkatan yang dialami oleh Telekom Malysia Berhad, tidak mustahil sekiranya ia menjadi sebuah syarikat telekomunikasi yang terunggul dan terkemuka di dalam negara dan menyebabkan wujudnya halangan kemasukan industri baru dalam pasaran telekomunikasi talian tetap.
            Dalam struktur pasaran telekomunikasi, pengiklanan turut memainkan peranan yang penting namun ia adalah terbatas. Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan firma Telekom Malaysia melakukan pengiklanan :
1.      Bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pengguna
            Pengiklanan yang memberikan maklumat dan pengetahuan kepada pengguna dikatakan memberikan faedah sosial. Melalui pengiklanan, Telekom Malaysia dapat memberikan maklumat sebenar tentang kualiti, sifat teknik produk yang ditawarkan dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam pengiklanan, memberi maklumat adalah penting kerana pengguna boleh membuat pilihan terbaik antara berbagai-bagai jenis barangan yang ada. Kebajikan pengguna akan meningkat kerana tanpa pengiklanan adalah sukar dan mahal bagi pengguna menilai kelebihan sesuatu jenama barangan pengguna. Misalnya Telekom Malaysia kurang melakukan pengiklanan dan hanya melakukan pengiklanan secara berkala misalnya di musim perayaan dimana ia adalah bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pengguna tentang barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Misalnya, iklan mengenai perkhidmatan jalur lebar Unifi yang diperkenalkan oleh Telekom Malaysia berjaya menarik ramai pengguna.
2.      Untuk mengurangkan keanjalan permintaan bagi meninggikan keuntungan.
             Selain itu, pengiklanan yang dilakukan oleh Telekom Malaysia juga digunakan untuk mengurangkan keanjalan permintaan bagi meninggikan keuntungan. Terdapat dua saluran yang membuktikan pengiklanan mempengaruhi keuntungan. Pertama, pengiklanan mewujudkan halangan kemasukan yang seterusnya meninggikan harga had dan keuntungan. Kedua, pengiklanan mempengaruhi keanjalan harga permintaan. Jadi ini menyebabkan firma akan mendapat keuntungan monopoli dan menyebabkan firma tersebut menguasai pasaran. Jika permintaan terhadap sesuatu barang adalah anjal, kenaikan harga barang tersebut menyebabkan kejatuhan dalam jumlah keuntungan. Manakala, jika permintaan sesuatu barang tersebut tidak anjal, kejatuhan harga barang tersebut akan mengurangkan jumlah keuntungan.
3.      Menghalang kemasukan firma baru dalam pasaran.
      Pengiklanan menghalang kemasukan melalui dua kesan secara langsung iaitu kesan pengiklanan terhadap SKM operasi pengeluaran firma dan keperluan modal. Kesan dari pengiklanan terhadap SKM operasi pengeluaran firma menyebabkan wujudnya ekonomi ikut skel. Hal ini menyebabkan firma besar seperti Telekom Malaysia yang telah menguasai 90% dalam pasaran sahaja boleh menarik pelanggan dengan kos pengiklanan perunit yang lebih rendah daripada firma kecil. Begitu juga dengan halangan kemasukan melalui keperluan modal. Pengiklanan memerlukan modal yang banyak. Modal diperlukan bukan sahaja untuk pelaburan dalam loji dan kelengkapan bahkan untuk pemasaran. Pelaburan bagi bagi menembusi pasaran tersedia ada adalah berisiko tinggi. Hal ini disebabkan bukan semua aktiviti pengiklanan akan mendatangkan hasil. Pembaziran mungkin berlaku khususnya jika pengiklanan gagal menarik para pembeli. Jadi hal ini juga menyebakan firma besar sahaja dapat menguasai pengiklanan.
Bagi Telekom Malaysia yang  menguasai hampir 90%dalam bahagian pasaran, tidak melakukan perbelanjaan pengiklanan yang berlebihan kerana ia tidak mempunyai persaingan dalam pasaran perkhidmatan talian secara tetap. Oleh yang demikian, keamatan pengiklanan  adalah rendah dalam industri monopoli.
OLIGOPOLI (Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex)
            Pasaran oligopoli merupakan struktur pasaran yang mempunyai beberapa buah firma besar yang menghasilkan keluaran yang berbeza untuk memenuhi keperluan seluruh pasaran. Ini bermakna jumlah keluaran untuk sesuatu keluaran hanya dihasilkan oleh beberapa buah firma besar sahaja. Dalam industri pengeluaran minyak petroleum, terdapat beberapa buah firma besar yang menguasai pasaran oligopoli iaitu Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex. Keluaran setiap firma dalam pasaran oligopoli dapat digantikan dengan mudah antara satu sama lain.
            Empat buah firma yang menguasai 90% bahagian pasaran dalam industri pengeluaran minyak petroleum mempunyai kuasa monopoli atau kuasa mempengaruhi tingkat harga pasaran bergantung kepada kerjasama antara firma. Jika tidak mempunyai kerjasama antara firma, maka kuasa mempengaruhi harga pasaran adalah lemah lalu mewujudkan suasana perang harga antara firma. Terdapat beberapa kepentingan pengiklanan yang wujud dalam persaingan firma oligopli,misalnya:
1.      Bersaing untuk meningkatkan jualan dan keuntungan dalam pasaran.
      Firma Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex bukan sahaja bersaing dari segi harga, tetapi turut bersaing dari segi bukan harga, iaitu melalui aktiviti seperti iklan, promosi, jualan, dan tawaran hadiah percuma untuk meningkatkan jualannya. Keamatan pengiklanan dijangkakan lebih tinggi dalam industri oligopoli. Berbanding dengan pemotongan harga, firma-firma Petronas, Exxonmobil, Shell dan Caltex memilih kaedah pengiklanan sebagai kaedah yang lebih selamat untuk meraih jualan daripada firma saingan, meninggikan bahagian pasaran, dan keuntungan.
2.      Tujuan untuk mengekalkan kesetiaan penggunaan terhadap keluarannya.
      Selain itu, aktiviti pengiklanan perlu dilakukan oleh empat buah firma besar ini bagi melakukan pengiklanan dengan tujuan untuk mengekalkan kesetiaan penggunaan terhadap keluarannya. Melalui tindakan ini akan dapat melindungi bahagian pasaran firma masing-masing daripada mengalami kemerosotan akibat persaingan. Misalnya, Petronas giat mempromosikan “Ganjaran Kad Mesra” untuk menarik para pelanggan untuk terus setia menggunakan produk mereka. Namun demikian, apabila periklanan dilakukan secara berlebihan ia akan menjadi kurang berfungsi dan keuntungan akan berkurangan.
3.      Kaedah pengiklanan lebih mudah dan selamat.
      Firma oligopoli mendapati bahawa cara mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka melalui pengiklanan adalah lebih selamat untuk meraih jualan daripada firma saingan daripada melakukan kaedah pemotongan harga. Hal ini demikian kerana, taktik pemotongan harga kurang digemari oleh firma oligopoli kerana tindakan menurunkan harga bagi produk dan perkhidmatan akan diikuti oleh dengan serta-merta oleh firma saingan kecuali jika ia dirahsiakan. Sebaliknya, aktiviti pengiklanan yang berjaya akan sukar diikuti dan memerlukan masa yang agak lama untuk bertindak balas. Misalnya, Petronas akan mempromosikan jenama dan produknya menerusi pengiklanan di televisyen mahupun menaja program-program besar seperti menaja program perlumbaan litar F1 di Litar Sepang, Selangor.



            Hal ini dapat ditunjukkan berdasarkan Matriks ganjaran firma hipotetik di bawah:
Iklan     tahunan
 firma Petronas
Iklan tahunan
firma Shell


RM 5 JUTA


RM 7 JUTA




I
II
III
IV

RM 5 JUTA
RM 7 JUTA
12.0
12.0
8.0
14.0

14.0
8.0
10.0
10.0


            Angka kolum I dan kolum III dalam jadual menunjukkan ganjaran keuntungan bersih bagi firma Shell (dalam juta RM setahun). Manakala, kolum II dan kolum IV merupakan ganjaran keuntungan bersih bagi firma Petronas. Jika kedua-dua firma melakukan perbelanjaan sama banyak iaitu RM5 juta, masing-masing akan mendapat keuntungan RM 12 juta. Jika firma Shell dan Petronas menambahkan lagi perbelanjaan pengiklanan kepada RM 7 juta, jualan keseluruhan akan meningkat, tetapi kos pengiklanan yang semakin meningkat akan menyebabkan keuntungan akan berkurang menjadi sebanyak RM 10 juta sahaja.
Jika firma Shell membelanjakan pengiklanan sabanyak RM 7 juta dan firma Petronas hanya RM 5 juta maka keuntungan firma Shell akan meningkat kepada RM 14 juta dan keuntungan firma Petronas hanya RM 8 juta sahaja dan begitu sebaliknya. Setiap firma  akan cuba untuk meningkatkan perbelanjaan pengiklanan namun kos yang tinggi akan merendahkan keuntungan berbanding jika mereka bersepakat untuk mengehadkan perbelanjaan pengiklanan hanya RM 5 juta.
Tetapi sama seperti strategi harga, pakatan perbelanjaan pengiklanan dalam oligopoli sukar dilakukan. Akibatnya, setiap firma dalam oligopoli akan melakukan perbelanjaan pengiklanan berlebihan daripada yang diperlukan. Secara kesimpulannya, pengurusan pengiklanan bagi firma Oligopoli adalah lebih rumit dan memakan kos perbelanjaan yang tinggi berbanding firma daripada pasaran Monopoli. Hal ini demikian kerana perbelanjaan pengiklanan memerlukan strategi yang sesuai. Firma harus mengambil kira bagaimana kelakuan pihak lawannya dan apakah tindakan pihak lawannya terhadap perubahan yang dibuat olehnya.