Tuesday 1 January 2013

PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia)



Apakah PR1MA?
 PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia), merupakan salah satu program kerajaan yang dilancarkan pada 4 Julai 2011 untuk menggalakkan pemilikan rumah yang lebih besar, terutama di kalangan golongan berpendapatan sederhana, dengan menyediakan lebih banyak kediaman hartanah berpatutan di bandar-bandar utama di seluruh negara. Program PR1MA ini merupakan satu lagi agenda Kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia sejajar dengan gagasan 1Malaysia: “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Pelaksanaan PR1MA juga akan dapat membantu ke arah mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara bagi menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki.
Pelaksanaan PR1MA akan ditumpukan di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara. Walau bagaimanapun, buat permulaan PR1MA akan dilaksanakan di sekitar Lembah Klang di mana permintaan untuk rumah-rumah kos sederhana ini dijangka tinggi dan melebihi penawaran. Pembinaan rumah-rumah ini dirancang supaya berdekatan dengan laluan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Hal ini adalah untuk memudahkan rakyat, mengurangkan kos pengangkutan dan secara langsung, ini dapat membantu golongan ini berjimat dan meningkatkan “disposable income” yang boleh digunakan bagi memperbaiki kualiti hidup mereka.
PR1MA ini ditujukan khusus kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan sederhana, tetapi tidak lebih daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan Kerajaan, swasta ataupun bekerja sendiri. Tujuan sebenar Kerajaan melaksanakan program ini adalah untuk melihat rakyat menikmati hidup yang lebih selesa dengan memiliki rumah sendiri dan bukannya untuk memberi ruang kepada sesetengah pembeli untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi.

KELEBIHAN
1.    Dilaksanakan melalui kaedah Public Private Partnership.
Melalui kaedah ini, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta dalam menjayakan skim PR1MA bagi melancarkan lagi pelaksanaan skim PR1MA.  Kerajaan bersedia mempertimbangkan bantuan kepada pemaju-pemaju yang terlibat dari segi penyediaan tanah dan dana mudah cara bagi memastikan rumah tersebut dapat ditawarkan pada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan. Di samping itu, pengurangan kerenah birokrasi turut dikurangkan menerusi laluan hijau yang diberikan oleh kerajaan kepada pemaju-pemaju untuk mendapatkan kelulusan pihak-pihak berkuasa berkaitan. Ini bagi memastikan bahawa projek perumahan tersebut dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Melalui kaedah ini, ini dapat menjamin kualiti perumahan yang dibina mengikut standard kualiti yang ditetapkan.

2.      Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS)
Kerajaan turut menggalakkan pemaju-pemaju agar mempraktikkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menekankan beberapa aspek seperti peningkatan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan. Konsep teknologi hijau dan mesra alam turut diterapkan dalam pelaksanaan projek PR1MA. Oleh yang demikian, rakyat dapat membeli rumah dengan harga yang mampu dimiliki dan turut dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dengan rumah yang berkonsepkan teknologi hijau dan mesra alam ini.

3.    Pengagihan secara adil dan telus
     Projek perumahan PR1MA akan diperuntukkan secara adil dan telus melalui sistem pengundian dimana setiap proses pengundian akan dipantau oleh sebuah firma perakaunan awam yang disahkan bagi memastikan proses permohonan mengikut piawaian dan prosedur yang berkaitan. Satu Unit Khas di bawah Pejabat Perdana Menteri akan ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras pembinaan PR1MA di seluruh negara serta membuat pengagihan rumah kepada pemohon yang layak seterusnya dapat mengelakkan aktiviti spekulasi di kalangan pembeli yang bertujuan untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan serta merta. Oleh yang demikian, pembeli unit rumah PR1MA tidak akan dibenarkan untuk menjual rumah tersebut dalam tempoh 10 tahun.

4.             Harga yang berpatutan
      Pakej PR1MA menyediakan perumahan yang murah, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki dimana kerajaan akan membiayai kos tanah dan infrastruktur dengan pembeli hanya perlu membayar untuk kos sebuah rumah. Harga seunit ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi. Untuk projek fasa pertama di Presint 11, Putrajaya harga seunit bermula daripada RM120,000 dengan keluasan setiap unit rumah PR1MA adalah antara 800 sehingga 1,400 kaki per segi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Kerajaan turut mengumumkan bahawa duti setem akan dikecualikan bagi pembeli rumah di bawah program PR1MA bagi memudahkan pemilikan rumah oleh golongan rakyat.
KELEMAHAN
1.    Kerenah Birokrasi
         Kerajaan juga perlu meningkatkan kecekapan skim perumahan dengan mengurangkan kerenah birokrasi untuk membolehkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman perumahan walaupun ia berdasarkan gaji bersih mereka. Pelbagai prosedur yang perlu dilakukan oleh pemohon sekaligus memakan masa yang lama untuk diproses seperti Pendaftaran Pemohonan dimana calon perlu untuk mendaftar secara online melalui laman web. Komputer dijana tiket bersiri akan dikeluarkan kepada pemohon dan pendaftar perlu mengesahkan selama 14 hari dari tempoh permohonan. Kemudian, peringkat kedua peringkat Pengundian Manual akan dijalankan pada tarikh yang diketengahkan. Pemohon yang terpilih akan dimaklumkan sebaik-baiknya melalui surat dan diminta untuk mengemukakan dokumen yang perlu dan relevan pada satu masa yang akan ditentukan kemudian untuk tujuan pemeriksaan. Peringkat terakhir ialah peringkat Pengumuman dimana notis akhir akan dikeluarkan oleh Unit PR1MA, Pejabat Perdana Menteri yang berjaya pemohon. Kelewatan proses kelulusan oleh pihak-pihak berkuasa turut menyukarkan pihak pemaju menyiapkan projek perumahan mengikut tempoh yang ditetapkan seperti kelulusan ICF yang memerlukan pelbagai prosedur untuk diluluskan.
2.         Tiada kemudahan pembiayaan/pinjaman
Projek Perumahan PR1MA tidak menyediakan pinjaman kepada pembeli dimana pemohon perlu menguruskan sendiri pembiayaan mereka sendiri. Pemaju hanya menyediakan senarai bank panel / pembiaya kepada pemohon. Pembeli hanya mempunyai pilihan untuk menggunakan sebahagian daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman atau mendapatkan nilai pinjaman yang lebih tinggi daripada institusi kewangan menerusi mekanisme sedia ada termasuk skim ring-fencing, yang telah ditawarkan oleh beberapa institusi kewangan. Oleh yang demikian, kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan dan melanjutkan tempoh pembayaran balik bagi memenuhi keperluan keluarga berpendapatan rendah.
3.      Tekanan kepada kawasan bandar
Kerajaan sehingga kini telah mengenal pasti sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang, Rawang dan Seremban bagi pelaksanaan skil PR1MA. Sebanyak 8 projek dijangka dapat dimulakan pada tahun ini dan tahun hadapan. Presint 11, Putrajaya telah dipilih untuk menjadi tapak pertama skim PR1MA. Projek ini akan menyediakan 560 unit pangsapuri di kawasan seluas 7.6 ekar. Justeru itu, kebanyakan projek perumahan PR1MA akan dibina di kawasan bandar sekaligus akan meningkatkan lagi tekanan kepada kawasan bandar. Pelbagai eksternaliti negatif akan timbul seperti kesesakan jalan raya, banjir kilat, serta mewujudkan iklim bandar yang teruk iaitu Pulau Haba. Perancangan gunatanah yang kurang baik ini akan mendatangkan masalah yang teruk kepada penduduk ekoran kawasan perumahan dibina di kawasan pusat bandar yang padat seperti di Lembah Klang dan Putrajaya.

KESIMPULAN
            Sebagai kesimpulannya, program PR1MA adalah satu program yang cukup baik kerana ia mensasarkan golongan masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah. PR1MA adalah sebuah kesinambungan idea untuk menyelesaikan masalah kekurangan pemilikan rumah. Tujuan sebenar kerajaan melaksanakan program ini adalah untuk melihat rakyat menikmati hidup yang lebih selesa dengan memiliki rumah sendiri dan bukannya untuk memberi ruang kepada sesetengah pembeli untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi. Golongan sasaran akan menikmati hidup yang lebih selesa selaras dengan gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam program PR1MA, namun ia masih dapat diatasi oleh kerajaan ekoran sambutan yang menggalakkan diterima oleh rakyat dan program ini wajar diteruskan lagi.
                                                 

1 comment:

  1. Harrah's Atlantic City Casino & Hotel - MapYRO
    Harrah's 아산 출장마사지 Resort Atlantic City Casino & Hotel 원주 출장샵 in 상주 출장샵 Atlantic City 경산 출장마사지 offers 2100 of the hottest 태백 출장마사지 slots, table games, and live entertainment!

    ReplyDelete